Izinkan Aku, Tuhan
Bismillah.
Gigil tangan apa yang mendorong aku tulis dalam esak yang tak sudah.Yang buat aku mahu curah walau tiada yang membaca. Biar nanti aku sembuh semula, aku baca, supaya aku sedar nikmat dari Allah Yang Maha Esa tak terhitung banyaknya.
Aku bersyukur dengan nikmat kesihatan yang Allah bagi buat aku yang susah dan jarang sakit satu tika dulu. Alhamdulillah atas rahmatNya yang tiada beda hingga hujungnya.
Dan aku tetap bersyukur dengan nikmat nyawa yang masih Allah bagi pinjam walaupun dua tiga bulan yang aku tempuh tanpa aku tahu apa yang terjadi pada diri aku sebenarnya.
Rasa perit apa yang singgah di kepala setiap kali bangun tidur.
Rasa perit apa yang singgah di kepala setiap kali cuaca panas membahang.
Rasa perit apa yang singgah pada tulang belakang yang pernah jadi satu masalah satu tika dulu dan kini bermasalah balik.
Rasa perit apa yang singgah pada kulit badan yang baru terlanggar benda kecil dah merah,bengkak.
Rasa perit apa yang singgah pada pinggang secara mengejut ibarat renjatan eletrik yang mencucuk.
Rasa perit apa yang singgah pada tangan bila menulis tak sampai 5 minit, aku terasa kebas ya Allah.
Rasa perit apa yang singgah pada bahagian tulang dalam paha bila berjalan selangkah demi selangkah.
Rasa perit apa yang singgah pada lutut bila mahu diluruskan semula selepas bengkok, ngilunya sampai nak menangis.
Rasa perit apa yang singgah pada tapak kaki kanan saat ia menapak perlahan.
Hampir seluruh badan, Ya Allah...
Pernah aku menangis sampai tak tahu nak luahkan sakit itu pada sesiapa. Bukan cara aku luahkan sakit aku pada Ibu , Ayah , Abalong , keluarga apatah lagi sesiapa. Aku sedar bila aku ada satu je dalam hidup aku sekarang yang boleh faham sakit aku --- DIA.
Silap paling besar bila aku ada penyakit takutkan ubat yang dorong diri tak pergi klinik atau hospital untuk buat medical check up. Scientifically, yes, penyakit apa entah yang serang, even aku tak tahu namanya apa. Tapi, non scientifically, 'dia' yang dah lama duduk dalam badan aku ni, yang selalu serang aku bila aku tak jaga amal, yang bila aku sorang tetiba rasa lain macam, tak pernah nak jauhkan diri dari aku. Buat roh aku macam istana, duduk bersemayam berhibur tawa gamaknya dan cuba jauhkan aku dari Engkau. Jangan biar 'dia' jadi raja selain Engkau. Cukup dah aku seksa. Terlalu seksa.
Kalau dulu, aku selalu dengar kisah sakit orang, perit rasa bila lihat mereka yang aku sayang berusaha kuatkan diri untuk teruskan hidup. Biarlah sekarang aku rasa sendiri apa itu makna tabah dan kuat. Mungkin ini yang terbaik buat masa ini. Allah tak beri lebih mampu manusia.
Tuhan,
Kiranya ini kafarah dosa atas masa laluku serta akan datang,
Kiranya ini ujian untuk Kau teguhkan iman dan aqidah,
Kiranya ini tanda kasih sayang Kau yang tidak berpenghujung,
Aku redha,
Ikhlaskan diri untuk terima tanpa mengeluh,
Walau ikhlas itu sendiri tak dapat aku definisikan sebagai apa,
Perit yang aku tanggung biar tiada yang rasa,
Biar Kau sembuhkan ikut aliran waktu,
Bersama insaf jiwa yang moganya ia hadir halus dalam diriku,
Tak hilang walau sesaat,
Supaya nanti aku pulang padaMu,
Dalam baik-baik sahaja,
Tiada cela,
Husnul khatimah,
Moga, Tuhan,
Permudahkan segalanya.
Izinkan aku menangisi apa yang terjadi dan Kau beri, dalam diam dalam seorang diri.
Izinkan aku hapuskan duka dengan tersenyum di depan mereka yang aku sayangi.
Izinkan aku pergi nanti dalam keadaan semua redha pada diri ini, dalam keadaan aku dimaafkan, dalam keadaan aku tidak berhutang, dalam keadaan aku dihalalkan segalanya dalam keadaan aku mencintai mereka sepenuh hati keranaMu Rabbani, dalam keadaan berbakti dan manfaatkan diri buat manusia sekeliling seikhlas diri.
Izinkan aku tabah, Tuhan.
Mohon izinkan aku.
Yang sedang membina tabah,
AAJ | 22032015 | MLK
No comments:
Post a Comment